Thursday 3 June 2021

 

JPV suntik 81,252 lembu ada tanda LSD

KUANTAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sudah memberi suntikan terhadap 81,252 ekor lembu di 9,108 ladang di seluruh negara setakat ini, selepas 89 ekor haiwan itu dijangkiti penyakit kulit kental (LSD).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata pihaknya memandang serius wabak penyakit LSD dan usaha mengesan serta menyekat penularannya kini giat dilakukan di seluruh negara.

Beliau berkata, semua JPV negeri sudah diarahkan untuk mengaktifkan program survelan bagi mengesan dan mengawal, seterusnya bertindak melakukan aktiviti pencegahan penularan penyakit LSD pada ternakan lembu di seluruh negara terutama di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, usaha mencegah penularan penyakit LSD turut dilakukan membabitkan lembu import, manakala syarat mengimport lembu hidup akan diperketatkan lagi supaya tidak ada lembu mengidap penyakit berkenaan masuk ke negara ini.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dalam memperkemaskan lagi kawalan di semua pintu masuk negara, malah tindakan tegas akan dikenakan terhadap konsainan lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di stesen kuarantin.

"JPV juga memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan penternak lembu supaya segera menghubungi pejabat perkhidmatan veterinar negeri dan daerah berdekatan jika mengesyaki ternakan lembu dalam jagaan atau kandang mereka menunjukkan gejala penyakit LSD," katanya.

Dr Norlizan berkata, persampelan akan dilakukan segera bagi pengesahan penyakit dan ternakan lembu yang dijangkiti LSD perlu diasingkan serta dilupuskan menerusi penyembelihan di rumah sembelih jabatan atau rumah sembelih swasta yang dilesenkan.

Beliau berkata, penyakit LSD disebabkan virus Poxviridae dan boleh tersebar pada ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk serta sengkenit.

Katanya, ia juga boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan lembu yang dijangkiti wabak berkenaan.

"Tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit LSD ialah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan badan haiwan terbabit dan sehingga kini tiada rawatan khusus untuk penyakit berkenaan.

"Ternakan lembu yang terjangkit boleh diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder menerusi pemberian antibiotik, anti-inflamatori dan vitamin.

"Walaupun penyakit LSD tidak menyebabkan kematian tinggi pada ternakan, tetapi ia memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan lembu dan kerugian

kepada penternak akibat penurunan pengeluaran susu pada lembu tenusu, penurunan berat badan, keguguran dan kemandulan kepada lembu pejantan," katanya.

Dr Norlizan berkata, penyakit LSD tidak zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia dan dakwaan kononnya ada individu mengalami masalah gejala di bawah mata yang tular di media sosial disebabkan jangkitan LSD, adalah palsu.


sumber : Berita Harian 4 Jun 2021


Sebarang maklumat yang dipamerkan merupakan Hak Cipta Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Muar. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab diatas sebrarang masalah yang timbul daripada tindakan oleh pihak kedua. Anda dinasihati untuk merujuk terus kepada kami untuk maklumat tambahan atau boleh terus hubungi kami ditalian 06-9521058 atau email kami di pvdmuar@johor.gov.my