Thursday 18 April 2019


Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor mempunyai peranan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan pengembangan veterinar kepada rakyat di tahap terbaik kerana kita terus dinilai dengan tahap kebolehan, kesediaan dan kesungguhan oleh pelanggan. Dalam keadaan yang semakin banyak cabaran, lebih – lebih lagi dengan kemunculan penyakit-penyakit merentasi sempadan, penyakit baru, penyakit lama yang muncul semula, keselamatan makanan, kedaulatan sumber makanan Negara, kebajikan haiwan yang semuanya menuntut kepada penyampaian perkhidmatan veterinar yang lebih cekap dan professional.Namun begitu persoalan yang kekal adalah adakah kita akan terus relevan? Maka, perkhidmatan yang kita berikan haruslah juga berganjak agar serasi dengan perubahan zaman. Kita melihat bahawa pelanggan-pelanggan kita pada hari ini sangat mudah memperolehi informasi kerana keupayaan maklumat di hujung jari. Namun untuk mereka mangadaptasi maklumat tadi menjadi alat yang berguna dalam perusahaan mereka, bimbingan terutama dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar adalah sangat diperlukan.Semua yang dikatakan tadi, membawa kepada kesimpulan bahawa kita perlu berubah. Kita perlu sentiasa menambahbaik, perlu meningkatkan produktiviti dan tidak boleh leka dengan pencapaian kita semasa.
 
      Sepertimana yang kita ketahui bahawa Pengembangan Veterinar adalah perkhidmatan yang menjadi asas kepada 111 tugas lain yang disampaikan kepada rakyat melalui 33 bidang dan 9 teras perkhidmatan.Oleh yang demikian, kita sebagai agen pengembangan perlu sentiasa berevolusi dan berinovasi, sentiasa mencari ruang penambahbaikan, dari semasa ke semasa. Pengembangan Veterinar perlu disampaikan secara cepat dan tepat bagi mengelakkan kerugian masa dan kos kepada rakyat. Tambahan pula, kita ingin mengelakkan persepsi oleh rakyat terhadap penjawat awam yang hanya mendapat faedah penambahbaikan perkhidmatan awam tetapi tahap produktiviti berada di takuk lama.Kemahiran dan kepakaran pegawai perlu dipertingkatkan bagi membolehkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Pegawai pembimbing harus tahu cara membimbing penternak dengan memilih maklumat atau teknologi bersesuaian dan membantu penternak membuat keputusan terbaik. Ketangkasan menjalankan siasatan dan pengesahan wabak penyakit perlu diberi perhatian terutamanya penyakit zoonotic supaya ia dapat dikawal dan dibasmi dengan berkesan. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor juga dalam usaha memartabatkan kebajikan haiwan selari dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang telah dikuatkuasakan pada 1 Julai 2017.Kemajuan dan kejayaan ini tidak akan dikecapi negara tanpa usaha padu penjawat awam dalam memartabatkan pengembangan veterinar.

      Dalam erti kata lain, ia merupakan berkat usaha yang gigih dan komitmen kita sebagai tunjang kepada pembangunan industri veterinar negara. Namun begitu, sekiranya kita tidak dapat meneruskan momentum ini, kita berhadapan dengan risiko yang mana segala yang dikecapi tidak dapat dikekalkan.Maka, sama – sama lah kita berganding bahu dan menyokong segala program Jabatan dalam mempertingkatkan produktiviti, penyampaian perkhidmatan yang lebih jitu untuk rakyat dan mengukuhkan imej Jabatan sebagai sektor utama dalam memacu pembangunan Industri ternakan negara.

DR. AIDA BINTI MUHID
Pengarah
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor


Sebarang maklumat yang dipamerkan merupakan Hak Cipta Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Muar. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab diatas sebrarang masalah yang timbul daripada tindakan oleh pihak kedua. Anda dinasihati untuk merujuk terus kepada kami untuk maklumat tambahan atau boleh terus hubungi kami ditalian 06-9521058 atau email kami di pvdmuar@johor.gov.my