
Secara umumnya, rumput tersebut boleh ditanam dua hingga tiga kali
setahun. Jika keluasan ladang berukuran satu hektar, rumput napier jenis biasa
hanya mampu membekalkan makanan untuk 18 hingga 20 ekor lembu sahaja, manakala
rumput Napier Pakchong 1 Thailand mampu membekalkan makanan untuk 30 ekor
lembu. Selain itu, rumput Napier Pakchong 1 Thailand mampu menghasilkan makanan
untuk haiwan ternakan antara 450 hingga 600 tan metrik sehektar berbanding
dengan rumput napier lain yang hanya mampu menghasilkan antara 275 hingga 350
metrik tan rumput sahaja.
Di sebalik kisah rumput Napier Pakchong 1 Thailand itu, sebenarnya
ia adalah hasil penyelidikan seorang pakar pemakanan haiwan ternakan terkenal
di negara Gajah Putih itu. Pakar yang dimaksudkan itu adalah Profesor
Dr. Krailas Kiyothong yang bertugas di Jabatan Pembangunan
Ternakan, Kementerian Pertanian Dan Koperasi Thailand. Beliau ditemui dalam satu
siri Jelajah Pak Chong oleh sekumpulan 60 ahli Kelab Generasi Transformasi
Ruminan Malaysia (GTR) yang berkunjung ke Thailand baru-baru ini, bagi
mempelajari dan mendalami ilmu berkaitan pemakanan haiwan ternakan.
Dalam kunjungan ke ladang rumput Napier Pakchong 1 di daerah Pak Chong
dalam wilayah Nakhon Ratchasima, Dr. Krailas memberi penerangan berkaitan
kebaikan dan kelebihan variasi rumput Napier Pakchong 1 Thailand hasil
penyelidikannya. Kunjungan yang diketuai Timbalan Presiden GTR, Nordin
Mat itu ternyata membuka mata ahli-ahli GTR yang merupakan penternak
ruminan dari seluruh negara. Menurut Prof. Dr. Krailas, rumput Napier
Pakcong 1 Thailand mempunyai jangka hayat yang lama iaitu lapan hingga sembilan
tahun. Rumput tersebut tumbuh dengan akar yang dalam, selain kaya dengan
nutrisi. Ketika musim kering, rumput tersebut hanya perlu disiram sekali
dalam seminggu, selain amat sesuai untuk dibuat makanan haiwan dalam bentuk
silaj. Daunnya pula kurang berduri yang boleh menyebabkan kegatalan berbanding
dengan rumput napier lain.“Kami sedia bekerjasama dengan ahli-ahli GTR untuk
membawa masuk kaedah penanaman rumput Napier Pakchong 1 Thailand ke Malaysia
kerana rumput ini telah terbukti berjaya meningkatkan pengeluaran lembu daging
dan juga susu oleh para penternak di daerah Pak Chong sejak beberapa tahun
lalu”, jelas beliau ketika menyampaikan taklimat kepada ahli-ahli GTR di
pejabatnya baru-baru ini. Prof. Dr. Krailas sebelum itu berjaya meyakinkan
penternak lembu dan kambing di daerah Pak Chong, Thailand untuk mengembangkan
penanaman rumput hibrid Napier Pakchong 1 Thailand hasil penyelidikannya. Dari
situlah juga, nama rumput hibrid itu diberikan oleh Prof. Dr. Krailas di mana
pusat penyelidikannya juga terletak di daerah Pak Chong.
Bagi mempromosikan rumput tersebut, beliau telah menjelajah dari kampung ke
kampung untuk menemui penternak dan mengagihkan sebatang keratan rumput Napier
Pakchong 1 Thailand kepada setiap penternak di daerah berkenaan. Usaha
Prof. Dr. Krailas itu ternyata berbaloi dan membuahkan hasil apabila penternak
mula menanam rumput tersebut bermula secara kecil-kecilan dan akhirnya dalam
bentuk ladang yang luas. Mereka sangat berpuas hati dengan hasilnya yang
cepat tumbuh membiak, selain sangat berkhasiat kepada haiwan ternakan. Para
penternak seolah-olah mendapat nafas baru dengan adanya rumput hibrid Napier
Pakchong 1 Thailand hasil penyelidikan Prof. Dr. Krailas. Bagi Nordin
pula, adalah menjadi hasrat GTR untuk mengembangkan lagi industri ternakan
ruminan di negara ini.
Ia
boleh dilakukan menerusi pelbagai kaedah termasuk mengadakan jalinan kerjasama
dengan penternak dan penyelidik dari negara-negara jiran seperti Thailand yang
lebih maju dalam industri tersebut.
Nordin yang
berpengalaman luas lebih 15 tahun dalam sektor penternakan, mempunyai hubungan
baik dengan pelbagai pihak di luar negara termasuk di Australia, Indonesia,
Thailand dan Pakistan. Beliau berhubung secara terus dengan Prof. Dr. Krailas
untuk menjalin kerjasama dalam membantu ahli-ahli GTR mengembangkan dan
memajukan lagi sektor ternakan yang diceburi.
“GTR bukan sekadar sebuah kelab yang mengumpul para penternak ruminan
untuk bersosial, sebaliknya kami juga merupakan pengusaha dan penternak tegar
yang telah berikrar untuk memajukan lagi sektor ini,” jelas Nordin.
Sumber Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd