Thursday 17 September 2020

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu hari ini menutup kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' daripada dikunjungi orang ramai.

Penutupan kandang kerbau dengan tali penghalang amaran itu dijalankan mengikut Akta Binatang 1953 (Akta 647) Kawalan Penyakit bagi mengehadkan kemasukan orang awam ke kawasan kandang, seterusnya mengelakkan penularan wabak Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah ke kawasan lain.

Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali, berkata pihaknya berharap orang ramai memberi kerjasama dengan tidak memasuki kawasan kandang kerbau terbabit.

"Di kandang kerbau itu, banyak bakteria HS. Oleh itu sesiapa yang datang ke situ kemudian ke tempat lain, boleh menyebabkan penularan wabak di kawasan berkenaan pula.

"Hari ini kita terpaksa menutup kandang kerbau itu daripada dikunjungi orang awam terutama penternak lain.

"Penyakit HS itu cepat merebak sekiranya tidak dikawal dibimbangi ternakan pentenak berhampiran pula yang akan diserang penyakit sama," katanya.

Kawasan kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukur kini dipasang pita larangan lawatan orang ramai oleh Jabatan Pekhidmatan Veterinar

Dr Mohd Termizi berkata, pihaknya juga akan mengumpul penduduk setempat termasuk penternak lain di kawasan Kampung Banggol Katong untuk memberikan taklimat dan penerangan mengenai penyakit HS itu.

"Sekarang sudah terlewat sekiranya untuk memindahkan ternakan ke kawasan lain kerana dibimbangi ternakan itu sudah menghidap HS.

"Bukan semua ternakan dijangkiti HS terus mati kerana ia bergantung kepada antibodi ternakan juga.

Sumber : BH Online, FB DVS Malaysia



Sebarang maklumat yang dipamerkan merupakan Hak Cipta Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Muar. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab diatas sebrarang masalah yang timbul daripada tindakan oleh pihak kedua. Anda dinasihati untuk merujuk terus kepada kami untuk maklumat tambahan atau boleh terus hubungi kami ditalian 06-9521058 atau email kami di pvdmuar@johor.gov.my