SERDANG - Tahap
kesedaran rakyat di negara ini mengenai isu berkaitan dengan penganiayaan
haiwan semakin meningkat. Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza
Nizamuddin Hassan berkata, perkembangan positif itu dapat dilihat apabila kes
melibatkan penganiayaan haiwan semakin menurun. Menurutnya, jumlah kes
penganiayaan terhadap haiwan meningkat daripada 510 pada 2017 kepada 662 pada
2018, namun sehingga September lalu hanya 265 aduan diterima. "Kita harap
trend menurun ini akan kekal pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya,"
katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Kebajikan Haiwan 2019
di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini. Beliau berkata,
kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah merangka pelbagai
aktiviti termasuk menganjurkan Sambutan Hari Kebajikan Haiwan setiap tahun bagi
meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kebajikan haiwan dan mendidik
masyarakat menjadi pendidik bertanggungjawab. Menurutnya, Akta Haiwan 2015 yang
telah dua tahun dikuatkuasakan secara tidak langsung memberikan pendedahan
kepada pemilik haiwan yang terdiri daripada penternak, pengimport, pemilik
haiwan kesayangan, penjaga haiwan dan lain-lain untuk menjadi lebih
bertanggungjawab.
Katanya,
individu yang didapati bersalah di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 bakal
berdepan hukuman berat iaitu penjara selama tiga tahun atau denda antara
RM20,000 sehingga RM100,000. "Dalam tempoh tersebut sehingga kini,
kerajaan telah merangka pelbagai aktiviti dan program menjurus kepada setiap
golongan sasar termasuk pelajar sekolah, pemegang taruh, agensi kerajaan,
persatuan haiwan, penyelidik institusi pengajian tinggi dan sebagainya.
"Kita mahu rakyat di negara ini diberikan pendedahan tentang kebajikan
haiwan seawal usia kanak-kanak," katanya. Sementara itu, Sambutan Hari
Kebajikan Haiwan 2019 selama dua hari bermula semalam berlangsung meriah dengan
pelbagai aktiviti yang diatur antaranya pameran haiwan, seminar kebajikan
haiwan, demonstrasi penjagaan kucing dan interaktif bersama kuda. Sumber :
Sinar Harian